SELANGOR

Selangor tolak unsur politik dalam sektor pertanian

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 14 FEB: Organisasi pertanian di Selangor digesa menolak unsur politik dalam pertubuhan masing-masing.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, unsur politik mampu menyebabkan sesebuah organisasi itu berpecah belah.

“Saya tak mengira sesiapa sama ada parti berbeza atau kaum berbeza kita akan bantu sama ada bentuk kewangan, kepakaran dan sebagainya sekiranya betul-betul berminat.

“Kalau kita nak pertanian ini tak berpecah belah jangan biarkan politik masuk, kita fokus kepada pertanian sahaja kerana kalau biarkan politik masuk satu apa tak akan jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Projek Agrobandar Oleh Agrosel di perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Semenyih di sini, hari ini.

Izham berkata, setiap persatuan dan koperasi pertanian mempunyai peranan besar menyatukan ahli masing-masing.

Katanya, melalui persatuan dan koperasi juga memudahkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kepada petani.

“Mereka sesama mereka juga boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada ahli yang memerlukan.

“Maka sebab inilah saya cadangkan supaya tubuhkan Persatuan Agropreneur Selangor dan jangan jadikan badan ini badan politik,” katanya lagi.


Pengarang :