GLOBAL

Trump tandatangan perintah eksekutif pastikan AS dalam AI

WASHINGTON, 12 FEB: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menandatangani perintah eksekutif yang melancarkan satu inisiatif bagi memastikan kepimpinan negara itu dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan Rumah Putih berkata, inisiatif bagi mempromosi teknologi itu di peringkat kebangsaan memerlukan perlindungan faedah yang diperoleh AS dalam bidang AI “daripada pesaing strategik dan musuh asing.”

Kennyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus pesaing atau musuh yang dimaksudkan.

“Kepimpinan Amerika yang berterusan dalam bidang Kecerdasan Buatan adalah kepentingan utama bagi mengekalkan keselamatan ekonomi dan negara AS,” kata Trump.

Inisiatif itu mencadangkan satu pendekatan pelbagai serampang untuk mempercepat kepimpinan AS dalam bidang AI termasuk dari segi pelaburan, perkongsian data, penetapan piawaian dan latihan kakitangan.

Bagaimanapun, ia menekankan satu “penglibatan antarabangsa” berbanding kerjasama antarabangsa yang dicadangkan oleh kebanyakan penyelidik dan usahawan AI.

Ia turut menggesa negara lain membuka pasaran kepada industri AI Amerika sambil memastikan teknologi itu dibangunkan secara konsisten dengan nilai-nilai dan kepentingan Amerika.

Inisiatif itu juga membolehkan agensi persekutuan menawarkan lebih banyak data, model dan sumber pengkomputeran kepada para penyelidik dan usahawan AI di negara tersebut.

“Kita tidak boleh duduk diam dan menganggap kepimpinan kita dalam bidang ini terjamin,” menurut kenyataan itu.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :