PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL raih Emas Anugerah Mentor Mentee STEM 2019

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Sekumpulan pensyarah Universiti Selangor (UNISEL) berjaya meraih pingat emas dalam Anugerah Mentor Mentee STEM, sempena Ekspo Teknologi Malaysia 2019 (MTE 2019), di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, UNISEL diketuai Dr Hazeeq Hazwan Azman selaku koordinator merangkul pingat berkenaan melalui modul Sains Forensik yang dibangunkan pasukan STEM institusi terbabit.

“STEM UNISEL adalah program kerjasama Pusat Pengajian Asasi dan Umum (CFGS), Institut Bio-IT termasuk Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat,” katanya.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis kepada Pengarah Institut Bio-IT, Dr Nor Suhaila Yaacob.

Sementara itu, Dr Hazeeq melahirkan rasa gembira atas kemenangan itu selain merakamkan jutaan terima kasih kepada pengurusan universiti yang sentiasa memberi sokongan terhadap pasukannya sepanjang pertandingan berkenaan.

“Kami menerima pelbagai respon dan maklum balas positif bukan sahaja daripada pengunjung yang hadir pada MTE 2019, malahan daripada pihak kementerian.

“Saya berbangga kerana berjaya membawa nama universiti ke peringkat ini dan berharap UNISEL akan terus mendapat perhatian dan pengiktirafan dalam bidang STEM,” katanya.


Pengarang :