NASIONAL

Wisma Putra sedia beri khidmat nasihat cari kerja luar negara

SEPANG, 17 FEB: Wisma Putra bersedia memberi khidmat nasihat kepada rakyat Malaysia yang mendapat tawaran kerja di luar negara bagi mengelakkan mereka tertipu.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, rakyat Malaysia yang ditawarkan kerja di luar negara dinasihatkan melakukan semakan dengan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan sebelum menerima tawaran kerja itu.

“Kita boleh bantu melakukan semakan terhadap tawaran yang diberi,” katanya, supaya kejadian 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Kemboja akibat penipuan pekerjaan tidak berulang.

Beliau ditemui ketika menyambut kepulangan empat dari 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan pihak berkuasa Kemboja pada Jumaat lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, hari ini.

Pembebasan mereka pada hari ke-65 ditahan tanpa bicara di Penjara Wilayah Banteay Mancheay di utara Phnom Penh itu adalah susulan rundingan antara kerajaan Malaysia-Kemboja, selain bersandarkan elemen kemanusiaan serta keutuhan hubungan kedua-dua negara.

Muhammad Shahrul turut bersyukur kesemua rakyat Malaysia dapat dibebaskan dan pulang ke tanah air.

“Apa yang penting semuanya telah selesai, ” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :