NASIONAL

Anak syarikat DRB-HICOM raih anugerah di China

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Bhd, PHN Industry Sdn Bhd, meraih Anugerah Kecemerlangan Pembangunan Teknologi pada Persidangan Pembekal Tahunan Geely Auto 2019 di Hangzhou, China, baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, DRB-HICOM dan PHN berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan terhadap usaha dan kecemerlangan berterusan PHN dalam menyokong pendekatan perindustrian pembekal Geely Auto Group melalui inisiatif kualiti, kos dan penyampaian.

Ketua Pegawai Eksekutif PHN, Shuhaida Nun berkata, anugerah itu menjadi bukti kepada keupayaan syarikat dan Malaysia dalam menghasilkan kualiti komponen automotif bertaraf antarabangsa.

PHN merupakan pengeluar utama komponen automotif dengan pelanggan yang termasuk jenama seperti Honda, Proton, Perodua, Volkswagen dan Toyota.

Syarikat itu turut terlibat dalam segmen bukan automotif dengan pelanggan antarabangsa seperti Hitachi Ltd, Camfil Group, Ficosa International S.A., Steelcase, Inc., dan Global Invacom Group Ltd. –BERNAMA


Pengarang :