NASIONAL

Anwar harap Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dibentang

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 dapat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat itu berkata, ia masih dalam peringkat draf selain memerlukan kebenaran Kabinet untuk diluluskan.

“Ia mungkin pada sesi Parlimen akan datang tetapi kita perlu berurusan dengan Kabinet dan Parlimen.

“Kami akan memudahkan untuk mempercepatkan proses ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, akta itu akan diperkenalkan dengan format baharu dan peruntukan yang dikemas kini.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 membolehkan Parlimen mempunyai autonomi sendiri serta dapat memainkan peranan dengan menimbang serta memeriksa kuasa eksekutif kerajaan. -BERNAMA


Pengarang :