Pasukan pesawat Jupiter ketika melakukan pertunjukan udara pada pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 27 Mac 2019. Foto BERNAMA
NASIONAL

LIMA’19: Pertunjukan udara gegar Langkawi

LANGKAWI, 27 MAC: Sekali lagi ruang udara Langkawi bergegar dengan bunyi jet pejuang, yang dapat didengar di seluruh pulau.

Pertunjukan udara sudah tidak asing lagi pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19), dan ia sentiasa mendapat sambutan hebat daripada pengunjung sejak edisi pertamanya, pada 1991.

Pelawat perdagangan yang mengunjungi landasan terbang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sanggup berdiri di bawah panas terik matahari, semata-mata untuk menyaksikan kehebatan aksi pesawat, manakala warga tempatan membanjiri jalan, tidak mahu ketinggalan melihat pertunjukan itu.

Ramai yang kagum dengan gerakan aerobatik di udara dan ada juga yang mengeluarkan telefon serta kamera untuk merakam detik itu apabila jet berkenaan melepasi mereka.

Antara jet yang mengambil bahagian dalam pertunjukkan itu ialah Sukhoi SU-30MKM dari Tentera Udara Diraja Malaysia, Russian Knights (Tentera Udara Rusia) dan X300 (Tentera Udara Indonesia).

Seorang petugas perubatan, Sharifah Saffinaz Syed Soffian, 34, menyifatkan pertunjukan udara itu sebagai menakjubkan terutama ketika Tentera Udara Indonesia membuat formasi bentuk hati daripada asap jet mereka.

“Sangat cantik,” katanya.

Pelawat perdagangan yang hanya mahu dikenali sebagai Brian, 40-an, berkata pertunjukan udara itu sangat hebat.

LANGKAWI, 27 Mac — Pesawat Su30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia ketika melakukan pertunjukan udara pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Ini kali pertama saya mengunjungi pameran LIMA dan rasa amat bertuah dapat menyaksikan sendiri pertunjukkan udara yang menakjubkan ini,” kata warga Britian itu.

Seorang lagi pelawat perdagangan, Mior Azman Noor, 36, berkata beliau kagum dengan pertunjukan daripada pasukan Indonesia dan Rusia sepanjang sesi itu.

“Saya tidak pernah menyangka kedua-dua pasukan boleh melakukan gerakan yang sukar di ruang udara,” katanya.

LIMA’19 yang bermula di sini semalam akan berkahir pada 30 Mac ini. Venue pameran ialah di MIEC dan Resorts World Langkawi (RWL).

Sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing yang kebanyakannya berkaitan pertahanan mengambil bahagian dalam LIMA’19. -BERNAMA


Pengarang :