GEORGE TOWN, 16 Mac — Ibu Rahimi Ahmad, Rokiah Mohammad, 65, membuat pengurusan dokumentasi perjalanan ke Christchurch, New Zealand untuk melawat anaknya yang ditembak dalam satu serangan di masjid. Turut sama seorang lagi anaknya, Rosdi Ahmad (dua, kiri), Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh (kanan) dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Aziz Mahathir (kiri). Keempat-empat mereka berlepas ke New Zealand dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas hari ini untuk meninjau perkembangan kesihatan Rahimi. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Christchurch berdarah: Anak mangsa masih trauma

GEORGE TOWN, 16 MAC: Anak sulung salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan masjid di Christchurch, New Zealand, semalam masih dalam keadaan trauma dan memerlukan perhatian khusus ibunya, kata bapa saudaranya, di sini hari ini.

Rosdi Ahmad, 42, berkata anak saudaranya, Ahmad Razif Rahimi, 11, yang tidak mengalami kecederaan luaran dalam insiden itu masih ketakutan kerana menyaksikan sendiri kejadian itu semasa berada di Masjid Al-Noor.

Katanya, adik iparnya, Nor Azila Abdul Wahid, 39, yang juga isteri kepada adiknya, Rahimi yang tercedera dalam insiden itu, memaklumkan Ahmad Rafiz tidak mahu bersama orang lain kecuali ibunya selepas kejadian itu.

“Selain itu, Nor Azila juga memberitahu Rahimi sudah menjalani pembedahan kedua iaitu membuang peluru yang terkena tulang belakangnya pagi ini dan dia masih belum sedar, namun dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum berlepas ke Christchurch, New Zealand, petang ini bersama-sama ibunya, Rokiah Mohammad dan dua wakil kerajaan Pulau Pinang.

Rosdi berkata, Rahimi sudah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari bahagian perutnya semalam dan beliau bersama-sama ibunya berharap adiknya itu akan cepat pulih seperti sedia kala.

Seperti mana perasaan ibunya, beliau berkata, mereka tidak sabar untuk melihat sendiri keadaan Rahimi serta keluarganya di Christchurch dan menjangka akan berada di New Zealand selama sebulan.

“Saya dan keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membantu membawa kami ke sana untuk melihat sendiri keadaan adik yang cedera,” katanya.

Rahimi, jurutera di sebuah kilang di Christchurch, adalah antara tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood. Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di hospital di sana.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan menguruskan Rokiah dan Rosdi untuk melawat Rahimi, di hospital, di sana.

Katanya, usaha mereka untuk membawa kedua-dua anggota keluarga Rahimi itu banyak dibantu pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta. -BERNAMA

 

Kapsyen foto: GEORGE TOWN, 16 Mac — Ibu Rahimi Ahmad, Rokiah Mohammad, 65, membuat pengurusan dokumentasi perjalanan ke Christchurch, New Zealand untuk melawat anaknya yang ditembak dalam satu serangan di masjid.
Turut sama seorang lagi anaknya, Rosdi Ahmad (dua, kiri), Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh (kanan) dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Aziz Mahathir (kiri).
Keempat-empat mereka berlepas ke New Zealand dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas hari ini untuk meninjau perkembangan kesihatan Rahimi.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA


Pengarang :