NASIONAL

Cuti bomba Putrajaya beku siap siaga hadapi kebakaran hutan

PUTRAJAYA, 27 MAC: Cuti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya dibekukan sebagai kesiapsiagaan menghadapi kebakaran hutan dan tanah gambut di kawasan sekitar seperti Serdang, Puchong dan Presint 20, Putrajaya berikutan cuaca panas dan kering.

Pengarah JBPM Putrajaya Md Hillman Abdul Rashid berkata walaupun kebakaran hutan di kawasan sekitar tidak begitu serius namun risiko kebakaran sentiasa ada kerana boleh berlaku ‘spark’ atau ‘spontaneous fire’ ekoran cuaca panas.

Menurutnya, hanya 15 kes kebakaran direkodkan dalam bulan Mac ini, yang hanya melibatkan kebakaran dapur, ubat nyamuk dan langsir disebabkan kecuaian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani nota kerjasama antara JBPM Putrajaya dan Hospital Putrajaya di sini hari ini dalam perkhidmatan rawatan prahospital dan ambulans kecemasan, yang antara lain mengoptimumkan perkhidmatan ambulans kecemasan di bawah seliaan Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan, Hospital Putrajaya dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), JBPM.

Melalui nota kerjasama itu juga, Md Hillman berkata pihaknya akan melatih paramedik hospital untuk membiasakan diri dalam penggunaan peralatan kecemasan dalam masa terhad dan cepat apabila berada di kawasan ‘red zone’ (berbahaya).

“Contohnya, jika ada kemalangan melibatkan tumpahan minyak atau pembocoran gas dari sebuah lori di atas jalan raya, maka pihak bomba perlu memeriksa kawasan itu selamat sebelum paramedik boleh masuk ke dalam kawasan. Ini kerana ada kemungkinan gas bocor boleh menyebabkan letupan dan menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam perkembangan lain mengenai kes penangkapan ular, Md Hillman berkata sebanyak 12 kes menangkap ular di dalam rumah direkodkan sehingga bulan Mac ini di sekitar kawasan di Presint 15,18 dan 20.  -BERNAMA


Pengarang :