SHAH ALAM, 27 Mac — Jururawat Institut Jantung Negara (IJN), Siti Shafikah Amira Mohd Rasani hadir pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Polis tiada cadangan panggil Cik Miera

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Polis tidak bercadang untuk memanggil jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) yang dikenali sebagai ‘Cik Miera’ susulan kenyataannya berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Selangor, Dato’ Noor Azam Jamaludin berkata, keputusan itu bagi menghormati inkues kes berkenaan yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

Katanya, polis hanya akan mengambil langkah susulan jika pihak inkues memohon supaya siasatan tambahan dibuat.

“Kes sedang berjalan dan pihak polis tidak mahu campur tangan demi menghormati posiding mahkamah, kita tunggu prosedur perundangan selesai terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pelancaran Program 1M1P di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Cik Miera atau nama sebenarnya Siti Shafikah Amira Mohd Rasani, 27, melalui Facebooknya mendakwa Muhammad Adib sebenarnya dipukul, sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam inkues yang menyatakan kecederaan dialaminya tidak menunjukkan seperti dipukul.

Bagaimanapun, jururawat itu kemudiannya menarik balik kenyataannya dengan memadamkan ‘posting’ yang dibuat di Facebooknya selepas perkara terbabit tular di media sosial.

Muhammad Adib, anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir, pada 17 Disember lalu di IJN.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Cik Miera memuat naik komen kontroversi itu, pada 22 Mac lalu tanpa mengetahui fakta sebenar.

“Saya terlalu ikut emosi tanpa ketahui fakta sebenar kejadian. Saya emosi buat kenyataan ini kerana semasa Adib di sana, (IJN) saya lihat keluarganya menangis.

“Saya juga nampak pihak bomba tidur luar Unit Rawatan Rapi IJN setiap hari atas kerusi menunggu. Saya rasa dalam keadaan kekeluargaan,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Zafran Rahim Hamzah semasa prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib, di Mahkamah Koroner hari ini.

Beliau yang merupakan saksi ke-25 turut memohon maaf kepada doktor yang dirujuk dalam kenyataannya itu.

“Kepada doktor saya tujukan, saya minta maaf, saya ikut emosi tanpa memikirkan fakta sebenar kejadian,” katanya yang berkhidmat di bilik pembedahan IJN selama enam tahun.


Pengarang :