NASIONAL

Dr Mahathir setuju VOA dilaksana di Langkawi – MoTAC

LANGKAWI, 2 MAC: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara dasarnya bersetuju Visa Ketibaan (VOA) dilaksanakan di Langkawi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, persetujuan terbabit dicapai di dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, baru-baru ini.

“Saya sudah berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan VOA ini untuk diadakan di Langkawi, beliau bersetuju dengan cadangan terbabit. Selepas ini saya akan tulis surat pula kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berkenaan cadangan berkenaan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Khas Pelancongan SFT3 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Haslina berkata, MoTAC sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan mengadakan VOA di Langkawi.

“Dalam perbincangan terbabit kita kemukakan cadangan pelaksanaan VOA ini, perkembangan perbincangan sangat positif dan VOA itu dalam perancangan seperti dikatakan oleh menteri tadi,” katanya.


Pengarang :