BERITA UTAMASELANGOR

Selangor mampu corak ekonomi nasional

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 MAC: Rakyat dan penjawat awam di Selangor mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kestabilan ekonomi bukan sahaja di peringkat negeri, malahan di peringkat nasional.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ekonomi di Selangor mampu memberi impak secara langsung atau tidak langsung kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Pada 2009, ketika kita berdepan kesulitan dan pencapaian ekonomi yang agak lemah, kesannya Malaysia turut mencapai pertumbuhan ekonomi yang tidak memberangsangkan.

“Bagaimanapun, pada 2017, kita diberi lonjakan pencapaian dengan pertumbuhan ekonomi pada kadar 7.1 peratus yang turut memberi kesan baik kepada ekonomi persekitaran nasional yang melonjak dari 4.5 hingga 4.9 peratus kepada 5.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Meraikan Pesara di 2019 Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, status itu perlu dikekalkan dengan melakukan anjakan progresif dalam diri penjawat awam, pemimpin, pentadbir dan seluruh rakyat Selangor untuk mengekalkan kemakmuran, di negeri itu.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada 160 penerima anugerah perkhidmatan cemerlang.

Katanya, anugerah diberikan itu menjadi penyuntik semangat kepada kakitangan untuk mengekalkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat Selangor.


Pengarang :