BERITA UTAMANASIONAL

Insiden Christchurch: Kenyataan Senator Anning jelik

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Kenyataan Senator Fraser Anning dari Australia yang menyalahkan program imigresen dan Islam sebagai punca insiden penembakan di Christchurch disifatkan amat jelik dan tidak logik, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ramai yang berdukacita dan melahirkan simpati kepada keluarga mangsa terhadap jenayah keji itu, justeru kenyataan Senator Anning adalah tidak sensitif dan kurang disenangi serta bersifat perkauman.

“Beliau yang sepatutnya menunjukkan perasaan simpati dan belas kasihan, sebaliknya mempamerkan sikap rasis dan kebencian terhadap Islam serta umat Islam dengan menyalahkan mangsa dan tidak sebaliknya menyalahkan pelaku jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, Mohamed Azmin menyeru semua rakyat Malaysia dan mereka yang berfikiran waras untuk mengutuk Senator Anning serta kenyataannya.

Dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden penembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood dan kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan media, insiden penembakan secara rambang itu, yang berlaku pada 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia), semalam meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa manakala puluhan yang lain cedera. -BERNAMA


Pengarang :