Seorang ibu bersama tiga anaknya mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang baru-baru ini. Pusat itu dibuka kepada mangsa pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim dekat Pasir, Khamis lepas. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Pencemaran kimia: Jawatankuasa Saintifik ditubuh kaji insiden

JOHOR BAHARU, 15 MAC: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Saintifik bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian kepada pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, tujuan utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk membantu jawatan kuasa bencana negeri membuat siasatan secara saintifik berkenaan perkara tersebut.

“Penubuhan jawatankuasa ini perlu kerana selepas kerja pembersihan dilakukan, kita tidak tahu sama ada ia selamat dan kita perlu kajian saintifik untuk memperolehi keputusan yang tepat,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff, Dekan Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Jawatankuasa itu turut dianggotai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Angkasa Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Kimia Negeri Johor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), UTM dan Petronas.

“Jawatankuasa ini juga bertindak mengumpul dan menganalisa semua data dan seterusnya menyelesaikan dengan lebih tepat masalah ini, ” katanya.

Bee Yin berkata tugas jawatankuasa tersebut adalah pengurusan data, menghalang gelombang ketiga gas beracun, pemantauan alam sekitar serta penerobosan kimia berbahaya ke dalam air bawah tanah dan kandungan tanah dasar sungai.

Beliau berkata, setakat ini kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer kawasan paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan.

Katanya, ​​​​​​​kontraktor dilantik terus melakukan kerja pembersihan selama 24 jam untuk membersihkan baki 900 meter sungai berkenaan.

​​​​​​​”Pada masa sama, membuat pemantauan jika ada kemungkinan ada gas keluar ketika kerja pembersihan dijalankan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan tidak berada dekat dengan tempat pembersihan dan mereka yang tinggal berhampiran tidak perlu bimbang kerana pihak di lapangan sentiasa memantau keadaan di sana.

– BERNAMA


Pengarang :