SUKANKINI

Iskandar mara ke separuh akhir China Masters

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton China Masters selepas mengalahkan wakil Taiwan di peringkat suku akhir di Hainan, China, semalam.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun, yang menjadi pemain profesional awal tahun ini, terpaksa berentap sehingga ke rubber-set sebelum mengalahkan pemain bukan pilihan, Yang Chih Chieh 13-21, 21-9, 21-12.

Kemenangan itu menyaksikan beliau bakal berdepan pemain China, Liu Haichao, yang turut layak ke separuh akhir selepas menyingkirkan rakan senegara, Gao Zhengze 21-13, 21-10.

Sementara itu, beregu lelaki profesional Chooi Kah Ming-Low Juan Shen gagal ke separuh akhir selepas tewas 14-21, 16-21 kepada pilihan kelima dan wakil tuan rumah, Di Zijian-Wang Chan.

Turut mengalami nasib sama apabila bekas pemain beregu kebangsaan, Tan Boon Heong, yang berpasangan dengan Kim Sa Rang, kalah kepada beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan, 17-21, 21-16, 16-21, pada perlawanan suku akhir. -BERNAMA


Pengarang :