BERITA UTAMASELANGOR

Karnival 3W bakal tampil Zarul Umbrella, Aishah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 MAC: Dipilih sebagai lokasi kedua penganjuran, Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, menjanjikan keseronokan buat pengunjung apabila bakal menampilkan selebriti tanah air dalam acara pentas.

Menerusi karnival anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada Sabtu ini, peminat akan berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi popular tanah air iaitu Zarul Umbrella dan Aishah.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, Zarul dipilih kerana artis berkenaan mempunyai latar belakang yang tidak pernah terpalit dengan sebarang kontroversi sepanjang pembabitan dalam karier seni.

“Selain sudah berkeluarga, beliau boleh menjadi ikon yang baik kerana dapat menjaga nama keluarga.

“Malah, beliau juga sentiasa menjaga ketrampilan dan kesihatan walaupun sudah melebihi 40-an serta memelihara imej bersih dan kemas,” katanya.

Sementara itu, Norfiza berkata, Aishah pula dijemput sebagai panelis bagi mengupas topik ‘Papaku Adiwira, Mamaku Kejora: Isu Keganasan Rumahtangga’, selain turut menampilkan persembahan khusus buat peminat.

Difahamkan, kedua-dua artis terbabit bakal membuat persembahan selepas sambutan ‘Earth Hour’ sekitar jam 8.30 malam.

Acara pentas akan dihoskan pelawak Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018 iaitu Puteh.


Pengarang :