Lynas jejas penduduk kampung di Gebeng-Fuziah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Lynas jejas penduduk kampung di Gebeng-Fuziah

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Projek Lynas di Gebeng, Kuantan Pahang menjejaskan penduduk kampung yang tinggal berhampiran, kata ahli parlimennya, Fuziah Salleh.

Fuziah berkata hanya selepas lima tahun beroperasi, pembuangan sisa radioaktif di tapak serta sisa berjadual kini berjumlah 1.5 juta tan metrik dan air bawah tanah di bawah Lynas sudah tercemar dengan logam berat.

“Ini akan memberi kesan kepada penduduk kampung yang tinggal di sekitar Gebeng, yang sebahagiannya masih bergantung kepada telaga tiub untuk kegunaan air harian mereka. Ia juga akan mencemarkan saluran air di sekitar Gebeng,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Perdana Menteri berkata isu berkenaan dengan Lynas biasanya disalah faham oleh ramai orang, terutamanya berkaitan dengan pengurusan sisa khususnya dengan sisa radioaktif.

“Lynas bijak dalam strategi menyampaikan mesej mereka di mana agak mudah terpedaya dengan pernyataan mereka tentang tahap radiasi yang rendah. Lynas sentiasa membisu mengenai thorium dalam sisa radioaktif mereka yang mempunyai jangka hayat yang sangat lama sehingga mencapai 14 bilion tahun

“Tetapi sayang sekali, ramai di dalam kerajaan juga tidak memahami isu pengurusan sisa yang betul dan yakin dengan cerita Lynas yang juga disampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Fuziah juga berkata Parlimen Kuantan mengalu-alukan sebarang pelaburan langsung asing (FDI) kecuali Lynas.

“Ya, kami mengalu-alukan FDI tetapi tidak seperti LYNAS. Kami mengalu-alukan FDI sehingga saya membantu mereka menyelesaikan isu kekurangan air yang sedang dihadapi oleh industri sekarang.

“Bagaimanapun, industri yang mencemari dan menganggap mereka berada di atas undang-undang tidak dialu-alukan di Kuantan dan Pahang dalam soal itu,” katanya.

Pada 24 Mac, Pengurus Besar Keselamatan Sinaran Lynas Malaysia, Prof. Dr. Ismail Bahari dilaporkan sebagai berkata bahawa tidak ada asas untuk mendakwa Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan boleh menyebabkan kejadian pencemaran sisa kimia serupa di Pasir Gudang, Johor .
– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next