PBTSELANGOR

MBSA anjur kayuhan malam sempena 60+ Earth Hour

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menganjurkan aktiviti Berbasikal Kayuhan Malam sempena program 60+ Earth Hour Peringkat Shah Alam 2019, pada Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, acara pelepasan akan diadakan bermula 8.30 malam di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini.

Katanya, peserta kayuhan akan melalui beberapa laluan seperti Persiaran Bandaraya, Persiaran Damai, Persiaran Masjid, Persiaran Kayangan, Jalan 7/10 dan Persiaran Institut.

Selain itu, katanya, laluan Bulatan Bestari, Persiaran Raja Muda, Bulatan Mestika, Persiaran Dato’ Menteri, Bulatan Permai, Persiaran Tasik, Jalan Majlis (Shah Alam Walk) dan Persiaran Perbandaran turut dilalui peserta.

“Oleh itu, kami menyeru orang ramai supaya berhati-hati apabila menggunakan laluan yang membabitkan peserta kayuhan ini, sekali gus mematuhi arahan pihak Polis Diraja Malaysia serta anggota Penguatkuasa MBSA.

“Kami juga memohon supaya pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi yang hendak dituju,” katanya dalam kenyataan.


Pengarang :