SELANGOR

Ahli PKNS BizClub terima tawaran menarik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Orang awam yang berdaftar sebagai ahli Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) BizClub bakal menerima tawaran menarik untuk menjalankan perniagaan.

Pengurus Komunikasi Korporat Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS, Ishak Hashim berkata, ahli kelab berkenaan akan menerima diskaun 10 peratus untuk kadar sewa di karnival perniagaan anjuran Eh Eh Bazar dengan kerjasama perbadanan itu.

“Malah, mereka juga berpeluang menerima subsidi harga tapak niaga sehingga 40 peratus di karnival terpilih dan menerima jaringan sesama ahli PKNS BizClub.

“Ahli juga akan tersenarai dalam direktori BPU dan jika ada peluang perniagaan, keutamaan diberikan kepada mereka serta kursus juga program keusahawanan turut dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, PKNS turut menawarkan penyewaan pejabat (VIO by PKNS) khusus kepada mereka yang tidak memiliki pejabat sendiri terutama yang ingin mengembangkan perniagaan.

Ishak berkata, VIO by PKNS itu boleh disewa secara bulanan dan turut dilengkapi dengan penyambut tetamu, nombor telefon, faks dan bilik mesyuarat.

“Objektif kita mewujudkan inisiatif ini bagi menyasarkan golongan Bumiputera yang baru memulakan perniagaan, selain membantu usahawan dalam mengurangkan kos permulaan tinggi dan gaji kakitangan.

“Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada ahli itu boleh hadir ke PKNS BizPoint, Seksyen 7 atau layari portal PKNS BizPoint untuk meklumat lanjut,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, BPU PKNS turut menganjurkan Hari Terbuka Usahawan BizPoint 2019, di PKNS BizPoint, Seksyen 7, di sini.

Program julung kali diadakan itu berjaya mengumpul 200 usahawan sekitar Selangor bertujuan memberi peluang kepada mereka memajukan diri dalam perniagaan diceburi.

Program turut menampilkan beberapa jurulatih perniagaan antaranya Rik Sadiman atau lebih dikenali sebagai Ritakamal yang berkongsi tips “Inovasikan Produk & Servis Anda”, Arif Ahmad menjelaskan berkenaan “Cara Mudah Kuasai Kewangan Perniagaan”, dan Ninie Dania menerangkan berkaitan “Urus Bisnes Gaya Korporat”.


Pengarang :