NASIONAL

Mujahid: Pilih kedamaian, bukti taraf kita lebih tinggi daripada pengganas

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Prinsip kedamaian yang diangkat pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini, membuktikan taraf rakyat negara ini adalah lebih tinggi daripada seorang pengganas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rakyat Malaysia senada menolak sifat kebencian dan memilih jalan kedamaian di saat sedang berduka susulan tragedi serangan pengganas di Chrischurch, New Zealand, 15 Mac lepas.

“Kononnya kita marah dan mahu balas dendam, jadi apa bezanya kita dengan si pengganas ini. Kita cuba dipengaruhi (sifat benci) kita seharusnya kata tidak.

“Taraf kita lebih tinggi dari seorang pengganas. Kita di atas mereka, kita di sebalik mereka kerana mesej kita ialah kedamaian untuk semua,” katanya berucap pada perhimpunan itu, di Dataran Merdeka, pagi ini.

Perhimpunan yang bermula pada jam 7 pagi itu adalah sebagai tanda solidariti Malaysia susulan kejadian tembakan di dua masjid di Chrischurch yang mengorbankan 50 nyawa termasuk remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Mujahid yang turut membacakan Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019, percaya deklarasi serta simbolik bunga raya dan merpati putih akan menjadi contoh di mata dunia.

Ribuan peserta yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama termasuk pemimpin tempatan, ketua agama dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu.

Antara yang hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy; Menteri Wilayah Pesekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri Indusri Utama, Teresa Kok; dan wakil keluarga Mohamad Haziq, Zarina Shuib (ibu saudara).

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage; Duta Turki ke Malaysia, Merve Kavakci; dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski juga hadir dan menyampaikan ucapan.

Sementara itu, pemimpin tempatan senada mengecam tindakan prinsip keganasan dan menyeru agar keharmonian pelbagai kaum di negara ini terus dipelihara.

Teresa Kok dalam ucapan ringkasnya berkata: “Hari ini kita datang bersama hati yang damai dan kasih. Kita mahu Malaysia terus damai dan berkongsi kedamaian ini ke serata dunia,”

Waytha Morthy pula berkata, kedamaian lebih 62 tahun negara ini perlu dikekalkan tanpa ada perasan kebencian.

“Insiden yang berlaku di New Zealand membuktikan kebencian boleh menggugat negara yang damai. Kita perlu jadikan teladan dan jangan ikutkan perasaan benci,” katanya.

Perhimpunan itu diakhiri dengan para peserta bersama-sama membersihkan sekitar kawasan perhimpunan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :