SELANGOR

Pakai kot gelap jika masuk DNS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC : Kesemua petugas Dewan Negeri Selangor (DNS) diarahkan supaya memakai kot bewarna gelap sahaja sepanjang menghadiri Sidang DNS.

Speaker DNS, Ng Suee Lim berkata, perkara itu turut termaktub kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) tanpa mengira jantina.

“Biarlah semua memakai pakaian bewarna gelap, janganlah bewarna-warni di dewan yang begitu mulia.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa DNS bukan seperti dewan-dewan lain, ini kerana kita mahu supaya DNS menjadi peneraju dalam negara dan meletakkannya pada tahap tertinggi,” katanya kepada media, di pejabatnya, hari ini.

Semalam, Suee Lim menegur ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang memakai kot bewarna putih.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, media juga tidak perlu memperbesarkan isu terbabit sebaliknya memfokuskan isu pembangunan dan kemajuan Selangor.

“Saya pun tidak sangka, teguran saya itu menjadi cerita yang begitu besar, sedangkan teguran sedemikian dibuat bukanlah kali pertama.

“Sebelum ini juga saya pernah menegur ADN lain, jadi ini bukanlah isu memperkecilkan wanita atau sebagainya,” katanya.


Pengarang :