SELANGOR

Panik tetapi tak hadir, Ketua Pembangkang ditempelak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pembangkang, Rizam Ismail ditempelak berikutan tiada di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Hal ini berikutan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar itu pada sesi perbahasan sebelum ini mempertikaikan langkah penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Rizam yang seolah-olah panik dengan langkah itu sepatutnya hadir supaya dapat mendengar penggulungan pihak Kerajaan Negeri.

“Nampak panik seolah-olah Kerajaan Negeri tarik macam-macam inisiatif yang ditawarkan, khususnya tentang Insentif Perkahwinan Belia yang ditawarkan.

“Jadi saya nak jawab tetapi Yang Berhormat Ketua Pembangkang tidak ada walaupun nampak panik macam Kerajaan Negeri tidak buat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan penggulungan perbahasan yang menerangkan dengan panjang lebar kepada DNS terhadap langkah penjajaran program IPR dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya, penjajaran IPR lebih memberdaya dan mampu memberi lebih banyak manfaat kepada golongan sasaran.

Mohd Khairuddin berkata, selepas penjajaran program IPR golongan sasaran menerima sumbangan sebanyak RM6,200 berbanding hanya RM500 sahaja bagi Insentif Perkahwinan Belia sebelum ini.

Katanya, penjajaran dilakukan ini turut fokus dalam usaha memperkasakan institusi kekeluargaan di Selangor.


Pengarang :