SEREMBAN, 30 Mac — Reaksi calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram ketika menunjukkan pas calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau sebelum memasuki Pusat Penamaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Seri Sendayan hari ini. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Streram dinafikan untuk bertanding berikutan beliau gagal mengemukakan pas calon sebelum memasuki pusat penamaan calon seterusnya tidak dibenarkan untuk mendaftar sebagai calon. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

PRK Rantau: Dr Streram mahu ‘rawat’ rantau

SEREMBAN, 30 MAC: Lebih tiga dekad dalam bidang perubatan serta membantu mereka yang memerlukan sudah menjadi darah daging calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram.

Malah pakar bius Pusat Perubatan Nilai berusia 60 tahun berkenaan aktif sebagai doktor sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan ke negara konflik termasuk di Afghanistan dan Sudan pada 2010 serta 2011.

Baginya, tiada apa yang lebih memuaskan hati daripada dapat menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan peluang bertanding sebagai wakil rakyat akan memberinya satu platform baharu untuk meluaskan perkhidmatannya di luar bidang perubatan.

Berkhidmat selama 34 tahun sebagai doktor, beliau yakin segala pengalamannya dalam bidang berkenaan sedikit sebanyak dapat memudahkannya mendekati rakyat, seterusnya menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam mewakili suara mereka.

“Saya juga harap dapat aplikasikan segala pengalaman yang ada dan membantu membangunkan Rantau sebaik mungkin, sekiranya dipilih,” katanya yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Anestesiologi dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Universiti Manipal, India.

Anggota Persatuan Perubatan San Frontier Brussel, Belgium itu juga pernah mendapat pengiktirafan ‘Regional Anaesthesia, Dublin, Ireland’, ‘Airway Management, Sydney, Australia’ dan ‘Cardiac Thoracic Anaesthesia, Montreal, Canada’.

Lahir di Kluang, Johor, dan kini menetap di Nilai, beliau yang mengundi di Rantau pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

SEREMBAN, 30 Mac — Reaksi ceria calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram (kiri) ketika berbual dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau di Pusat Penamaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Seri Sendayan, hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Rembau, mula terlibat dalam politik sejak awal 90-an dan pernah menjawat jawatan Timbalan Bendahari KEADILAN Selangor dan Bendahari Biro Integrasi Nasional KEADILAN.

Ini merupakan peluang kedua beliau bertanding selepas dinafikan haknya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas setelah dihalang masuk ke pusat penamaan calon ekoran ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bapa kepada tiga anak perempuan itu akan berhadapan dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menang tanpa bertanding pada PRU14 lepas dan dua calon bebas iaitu Malarvizhi Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah. –BERNAMA


Pengarang :