SELANGOR

Sewa lot kepada warga asing, pemilik bakal disenarai hitam

OLEH NORHAYATI UMOR

PUCHONG, 5 MAC: Warga tempatan yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menyewakan lot premis atau pasar kepada warga asing akan disenarai hitamkan Kerajaan Negeri.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, tindakan itu bakal dilaksanakan menerusi dua fasa pelaksanaan yang dirancang.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak pernah mengeluarkan lesen kepada warga asing namun, ia berlaku berkemungkinan melalui warga tempatan.

“Kita menggariskan dua fasa pelaksanaan sebagai jangka pendek bagi mengatasi isu penjaja kecil warga asing ini.

“Saya berpandangan Undang-Undang Kecil (UUK) di PBT sudah cukup baik, namun hanya tindakan penguatkuasaan.

“Saya juga sudah menerima laporan dari 12 PBT, mereka tidak mengeluarkan lesen kepada warga ini tetapi ia berkemungkinan diberi sewa oleh warga tempatan,” katanya ketika ditemui.

Sehubungan itu, Sze Han berkata, tindakan tegas bakal dilaksanakan dengan dimulakan di pasar pagi dan pasar malam.

“Sama ada warga asing atau tempatan, kedua-duanya akan diambil tindakan. Lesen mereka akan ditarik balik dan disenarai hitamkan,” katanya.

Sebelum ini, Majli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengarahkan semua 12 PBT mengkaji dan membuat penambahbaikan kepada UUK khususnya berkaitan dengan penjaja kecil bagi melarang pembabitan warga asing sebagai pekerja atau pemilik.

Malah, Kerajaan Negeri juga sedang merangka pelan tindakan dan pelaksanaan membabitkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Imigresen, Majlis Daerah dan PBT.


Pengarang :