BERITA UTAMASELANGOR

Sisa minyak: Tindakan tegas, Kerajaan Negeri lapor polis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas kepada pelaku dalam isu pembuangan sisa minyak yang dibuang ke kolam takungan Taman Eng Ann, Klang, semalam.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, satu laporan polis dibuat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkenaan perkara itu.

“Tindakan perundangan berdasarkan Seksyen 79: Larangan Pencemaran Sumber Air, Enakmen LUAS 1999 boleh diambil bergantung kepada keputusan analisa pensampelan yang disesuaikan dengan sub-seksyen 79 itu yang berkaitan.

“Hasil bantuan penduduk setempat, lori tangki yang disyaki digunakan untuk membuang sisa minyak itu ditemui dan proses menjejaki pemilik lori berkenaan sedang dilakukan bagi tindakan perundangan yang berkaitan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, LUAS dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemantauan pihaknya mendapati tiada aliran baharu dan tiada kesan minyak di dalam Sungai Klang.

Malah, katanya, ‘Absorbent pad’ dipasang oleh pasukan LUAS di longkang terbabit dan ‘oil boom’ dipasang di hujung saluran (outlet) keluar ke sungai untuk menghalang baki sisa minyak itu daripada mengalir ke Sungai Klang.

“Kontraktor pembersihan dilantik LUAS dan kerja-kerja pembersihan sisa minyak di dalam kolam dan longkang berkenaan dimulakan sekitar jam 9 pagi tadi.

“Ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari berdasarkan keluasan kolam 1,300 meter persegi dengan panjang longkang 1.5 kilometer untuk dibersihkan sehingga kawasan kunci air,” katanya.

Beliau berkata, LUAS dan pihak terbabit akan memantau kerja-kerja pembersihan tersebut dan mengawal baki sisa-sisa itu daripada mengalir ke Sungai Klang.

Terdahulu, LUAS menerima aduan daripada Pejabat Loy Sian, dan Pasukan Tindakan Suara Rakyat (PTSR) melalui laman Facebook mereka pada jam 4.31 petang, semalam.

Siasatan dan pemerhatian fizikal di lokasi mendapati sisa buangan itu adalah sisa minyak dan berbau busuk dibuang menggunakan sebuah lori tangki minyak ke dalam sebuah kolam takungan.

Semakan mendapati tiada aliran keluar daripada kolam tersebut dan sisa minyak berkenaan terbendung.


Pengarang :