SELANGOR

Kerja mitigasi bendung sisa minyak giat dijalankan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerja mitigasi bagi membendung dan membersihkan sisa minyak yang dibuang ke dalam sebuah kolam takungan di Taman Eng Ann, Klang semalam sedang giat dijalankan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, hasil siasatan dan maklumat diterima, sisa minyak itu dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sisa minyak ini bertakung di dalam sebuah kolam takungan dan juga longkang yang turut akan mengalir terus ke Sungai Klang.

“LUAS melakukan pensampelan air dan dihantar ke makmal untuk mengenal pasti jenis bahan buangan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sebahagian daripada Sungai Klang di sini dikesan dicemari dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti, dipercayai dilakukan pihak tertentu.

Sementara itu, Pengarah LUAS, Datuk Hashim Osman berkata, satu siasatan mendalam akan dijalankan.

“Pencemaran itu tidak memberi kesan kepada bekalan air kerana ia terletak di hilir Sungai Klang dan tidak berbahaya kepada manusia.

“Ia mungkin memberi kesan kepada hidupan sungai tetapi bergantung kepada jenis bahan kimia, yang belum kami kenal pasti, ” katanya.


Pengarang :