SELANGOR

SPCA lancar petisyen henti jual daging kucing dan anjing

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 MAC: Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor melancarkan petisyen bagi menentang penjualan daging kucing dan anjing.

Petisyen melalui tandatangan dalam talian Change.Org itu mendapat 146,436 tandatangan sehingga 12.30 tengahari tadi.

SPCA melalui kenyataan berkata, warganegara Malaysia tidak pernah menganggap kucing dan anjing sebagai haiwan ternakan.

“Pembunuhan haiwan kesayangan sebagai bahan makanan adalah menjijikkan kerana ia boleh menyebabkan penyebaran penyakit, malah penyembelihan haiwan itu dilakukan secara kejam.

“Ia juga melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2016 dan jumlah penalti adalah RM25,000 hingga RM 100,000,” kata kenyataan itu di laman twitternya.

Pada masa sama, SPCA berkata, Taiwan adalah satu-satunya negara Asia yang mengharamkan pemakanan kucing dan anjing.

“Oleh itu, kami menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) untuk mengambil tindakan bagi menggubal undang-undang untuk mengharamkan memakan daging kucing dan anjing,” katanya.


Pengarang :