NASIONAL

Tiada had bilangan lesen import terbuka yang akan diluluskan

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Tiada had bagi bilangan Lesen Import (AP) yang akan diluluskan sepanjang tahun di bawah dasar baharu AP terbuka yang dilaksanakan bermula 1 Januari lalu, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, syarikat boleh memohon AP tambahan berdasarkan kepada prestasi jualan mereka.

“Buat masa ini, kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana mereka perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian ahli,” katanya.

Pelaksanaan itu adalah sejajar dengan keputusan kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar tersebut dengan beberapa penambahbaikan termasuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menyertai industri itu.

Objektif dasar baharu itu untuk menggalakkan pembangunan usahawan baharu Bumiputera dalam industri automotif serta memastikan dasar terbabit terus menyumbang kepada matlamat sosio ekonomi negara.

Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan daya saing pasaran yang akan memberi manfaat kepada pengguna terutamanya dari segi harga dan perkhidmatan.

Kementerian itu berkata, ketika tawaran permohonan dibuka pada 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016, MITI tmenerima hampir 300 permohonan untuk menjadi syarikat AP terbuka.

Setelah penilaian dibuat, yang turut membabotkan kerja pengauditan oleh sebuah syarikat juruaudit bebas bertauliah, bilangan syarikat yang layak adalah sebanyak 164 syarikat, iaitu 128 syarikat sedia ada dan 36 syarikat baharu.

MITI berkata, ia akan terus memantau dan mengaudit syarikat AP terbuka.

Di bawah dasar baharu itu, jika terdapat pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP terbuka yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik atau membekukan AP yang diperuntukkan dan diluluskan.

MITI juga akan menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga Pengarah syarikat daripada mengemukakan apa-apa permohonan memperolehi AP terbuka, pada masa hadapan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat.

Tahun lalu, MITI menyenarai hitam sembilan syarikat sedia ada kerana tidak mematuhi syarat AP terbuka yang ditetapkan.

Antara syarat yang perlu dipenuhi ialah syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan penting di peringkat pengurusan, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan serta mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

MITI berkata syarat semasa berhubung kelayakan sebagai syarikat AP terbuka dan senarai terkini syarikat yang dilantik sebagai syarikat AP terbuka boleh dirujuk di portalnya, www.miti.gov.my.

MITI mengalu-alukan sebarang aduan atau maklum balas berhubung isu berkaitan penjualan AP terbuka kereta atau motosikal.

E-melkan aduan kepada [email protected] dan identiti pengadu akan dirahsiakan. -BERNAMA


Pengarang :