NASIONAL

30 peratus rumah generasi baharu FELDA siap hujung tahun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 APRIL: Sebanyak 30 peratus lagi baki Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai dijangka akan siap sepenuhnya, hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kebanyakan rumah 70 peratus siap, namun berdepan masalah ekoran kekurangan peruntukan agensi terbabit.

Katanya, banyak rumah terbengkalai kerana FELDA hanya menerima 13 peratus peruntukan daripada RM1.5 bilion yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional ketika pembentangan Belanjawan 2013.

“Kerajaan dahulu menyasarkan mahu membina 20,000 unit rumah PGBF dengan peruntukan RM1.5 bilion, namun apa yang diberi kepada FELDA ketika itu hanya RM200 juta, sekali gus menjadi punca banyak rumah terbengkalai.

“Apabila kita ambil alih kerajaan, kita lihat banyak rumah terbengkalai, jadi baki 30 peratus itu kita menyasarkan akan siap hujung tahun ini,” katanya dalam Rancangan Soal Rakyat: Ke Arah Kelestarian FELDA di TV3, malam tadi.

Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat, dilaporkan berkata, 4,794 unit rumah terbengkalai akan dibangunkan semula.

Keputusan kerajaan meluluskan RM250 juta tahun ini untuk menyiapkan rumah program PGBF, sekali gus membuktikan komitmen tinggi kerajaan membela nasib peneroka tanah rancangan itu.

Pada masa sama, langkah itu bagi membolehkan anak peneroka mempunyai kediaman sendiri selepas sekian lama tanpa pembelaan daripada kerajaan terdahulu.

Mohamed Azmin menjelaskan, kerajaan Pakatan Harapan terpaksa menyuntik RM6.23 bilion untuk mengatasi penyelewengan dana agensi terbabit.

Beliau bercadang beberapa langkah menerusi Agenda Pemerkasaan Peneroka dan Generasi Baharu FELDA antaranya Pelaksanaan Projek Perumahan; penyediaan Skim Pewaris Tanah untuk Peralihan Lancar dan Memperkukuh Peranan Kepimpinan Tanah Rancangan.


Pengarang :