Peniaga asi kepal dari Taman Lagenda Mardiana Rusidi, 34, menunjukkan ais kepal campuran koko dan campuran buah segar yang paling digemari pelanggan dan sanggup beratur untuk mendapatkannnya dengan harga antara RM3 hingga RM6 sebekas. Foto BERNAMA
RENCANA

Ais kepal Mardiana popular di Padang Serai

KULIM, 6 APRIL: Ais yang dikisar halus dan ditambah sirap manis pelbagai perisa atau ‘ais kepal’ yang dijual seorang suri rumah di gerainya di Taman Lagenda Padang Serai, di sini semakin popular dan mendapat permintaan hangat daripada orang ramai terutama dalam keaadaan cuaca panas sekarang.

Bermula dengan hanya secara kecil-kecilan setahun lalu, kini gerai ais kepal Mardiana Rasudin,34, dipenuhi orang ramai pelbagai lapisan masuarakat yang beratur panjang bagi mendapatkan manisan itu sehingga tidak menang tangan.

“Tidak sangka hanya bermula dengan cuba-cuba tetapi kini saya serius menjual ais kepal setiap hari kerana mendapat permintaan yang amat menggalakkan walaupun ketika cuaca hujan.

“Setiap hari sebanyak 60 bongkah ais saya gunakan untuk menghasilkan kira-kira 300 bekas ais kepal dan lebih banyak bongkah ais diperlukan pada hujung minggu kerana permintaan akan menjadi lebih banyak,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya, di sini.

Mardiana berkata, bagi memastikan pelanggan berasa puas menikmati ais kepalnya, beliau sentiasa berusaha memberi kelainan dalam hidangannya termasuk mempelbagaikan perisa.

“Jika dahulu semasa mula berniaga saya hanya hidangkan satu perisa sahaja iaitu ais kepal coklat, namun selepas beberapa bulan permintaan menjadi kurang kerana ramai peniaga lain yang turut jual ais kepal dengan perisa sama.

“Jadi saya telah perkenalkan pelbagai perisa dan kini saya ada 10 jenis perisa seperti mangga, sirap, kiwi, strawberi, campuran buah segar dan campuran coklat yang diadun dengan ramuan lain dan dijual antara RM3 hingga RM6 sebekas,” katanya.

Malah, Mardiana turut berkongsi rahsia keenakan dan keunikan ais kepalnya yang menggunakan bahan istimewa iaitu krim putih yang dihasilkan sendiri.

“Krim putih inilah yang membezakan rasa asil kepal saya dengan ais kepal peniaga lain, saya dapat resepi ini hasil perkongsian dengan seorang kenalan di Facebook, hanya kami berdua sahaja yang ada ramuan krim ini,” katanya.

Katanya, selain pelanggan yang datang ke gerai, beliau sering juga sering menerima tempahan daripada pihak sekolah, hospital dan kilang berdekatan kawasan itu yang ingin merasai ais kepalnya.

Sementara itu, pemerhatian Bernama ke gerainya mendapati orang ramai dari pelbagai peringkat usia yang beratur panjang terutama pada waktu tengah hari bagi mendapatkan ais kepal Mardiana. –BERNAMA


Pengarang :