NASIONAL

Akta kredit pengguna digubal pastikan pinjaman patuh syairah

KUALA LUMPUR, 11 APR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menggubal Akta Kredit Pengguna dalam usaha memastikan pengguna mendapat pinjaman wang berlesen yang patuh syariah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya telah mengadakan sesi perbincangan (townhall) dengan beberapa agensi kerajaan pada 19 Februari lalu bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

“Penggubalan (Akta Kredit Pengguna) akan dilaksanakan tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan ini sedang diuruskan,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memastikan sistem pinjaman wang berlesen di bawah KPKT adalah patuh syariah.

Zuraida berkata, semua syarikat peminjam wang berlesen atau kredit komuniti yang berdaftar dengan KPKT ketika ini boleh merujuk kepada syarikat panel syariah bagi mendapatkan lesen patuh syariah.

— BERNAMA


Pengarang :