NASIONAL

Bocor embargo: KKMM tiada kuasa ambil tindakan

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan membocorkan embargo Kertas Putih FELDA kerana individu yang melakukannya bukan kakitangan kerajaan.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, perkara itu akan diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab, bersesuaian niat atau perbuatan individu terbabit.

“Kalau berkaitan kakitangan kerajaan, itu perkara yang kita sentiasa titik beratkan dan menjadi keutamaan (jangan bocor embargo).

“Tetapi jika ia dilakukan bukan kakitangan kerajaan dan secara terang memanipulasi keadaan, ia tidak berada dalam kawalan kami.

“Saya percaya pihak bertanggungjawab akan ambil tindakan bersesuaian,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dalam sesi soal jawab berhubung status isu embargo Kertas Putih FELDA.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengemukakan usul supaya bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dikenakan tindakan keras kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)’.

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) berkenaan langkah kementerian menangani ketirisan data peribadi membabitkan sektor perkhidmatan, Eddin berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dikuatkuasakan pada 15 November 2013 untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

“Setiap pengguna data (syarikat yang memproses data peribadi untuk transaksi komersial itu) wajib mematuhi Prinsip Perlindungan Data Peribadi dalam mengendalikan data peribadi subjek data (pemilik data peribadi) bagi memastikan data peribadi berkenaan tidak disalahgunakan,” katanya.

Katanya, Akta 709 juga mewajibkan pendaftaran bagi setiap pengguna data dan sehingga Februari 2019, sebanyak 13,739 pengguna data sudah berdaftar.

Eddin berkata, kegagalan untuk mendaftar di bawah Akta 709 adalah satu kesalahan yang mana jika sabit kesalahan, pengguna data boleh didenda didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya. -BERNAMA


Pengarang :