BERITA UTAMANASIONAL

Angka korban Sri Lanka meningkat 359 orang

COLOMBO, 24 APRIL: Jumlah kematian akibat beberapa siri letupan bom di Sri Lanka pada Ahad kini meningkat kepada 359 orang, demikian menurut polis pada Rabu.

Lebih 34 warga asing adalah antara yang terbunuh, kata Kementerian Luar Negeri.

Jurucakap Polis Ruwan Gunasekara berkata, 18 lagi suspek ditahan pada Rabu pagi.

Gunasekara berkata polis turut menemui sebuah motosikal dan empat unit walkie-talkie di sebuah rumah di Warakapola, kira-kira 56 km dari ibu kota Colombo.

Setakat ini, 58 suspek ditahan sejak Ahad.

Pada 21 April lalu, letupan terbabit dilaporkan berlaku di seluruh Sri Lanka, ketika ratusan penganut berhimpun di gereja untuk memperingati Hari Easter, kata polis.

Satu letupan berlaku di Gereja St Anthony di Kochchikade manakala letupan kedua di Gereja St Sebastian di Negombo, kedua-duanya terletak di pinggir ibu kota pada Ahad pagi.

Letupan ketiga menggegarkan Gereja Zion di timur bandar Batticaloa.

Beberapa letupan turut menggegarkan tiga hotel lima bintang di Colombo, manakala satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan sebuah zoo di Dehiwala dan satu lagi di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, kedua-duanya di ibu kota.

-BERNAMA


Pengarang :