NASIONAL

Anwar: Dakwa Najib tak semudah dakwa saya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

JENJAROM, 29 APRIL: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat, pendakwaan terhadap pertuduhan pecah amanah dan salah guna kedudukan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak semudah dilaluinya, suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mahkamah perlu bertindak adil dalam menguruskan pendakwaan terbabit berpandukan undang-undang, selain proses dan fakta yang betul.

“Ini bukan kes dakwa saya dulu, sekejap sahaja. Tapi, kita janji tangkap orang yang rasuah dan undang-undang mahkamah mesti adil, tidak boleh kuasai dan arah hakim. Sebab itu kena ikut proses.

“Bila kita nak laksanakan susah, inilah yang kita lakukan. Sekali lagi, kita kena tanya, adakah kita ada pilihan? Kita tak boleh ambil jalan singkat. Agak bersalah tangkap masuk penjara. Itu dulu sistem Umno yang kita tolak. Sebab itu ia tidak mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal KEADILAN Cabang Kuala Langat, di Dewan Gan Yan Sin, di sini malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar; Setiausaha Politik Kepada Dato’ Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Hee Loy Sian.

Anwar mengulas perkara terbabit susulan timbul persoalan daripada rakyat mengapa Najib belum ditangkap walaupun sudah banyak laporan membongkarkan skandalnya.

Pada masa sama, Anwar turut menggesa rakyat supaya bijak membuat sebarang keputusan memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sedang bekerja keras untuk menyelesaikan konflik itu.

Katanya, seluruh dunia juga tahu masalah dihadapi negara ketika ini ekoran tindakan ‘merompak’ dilakukan pemimpin terdahulu.

Ketika menyentuh berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Anwar berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana peranan bekas pegawai bank itu yang terbabit dalam skandal berkenaan.

“Dia minta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia sebab terlibat dengan penipuan ini,” katanya.


Pengarang :