PBTSELANGOR

Basmi denggi, komuniti digalak jaga persekitaran

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 APR: Dalam usaha kerajaan membasmi wabak denggi, komuniti digalakkan menjaga persekitaran masing – masing, kata V Ganabatirau.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin itu berkata, komuniti tidak seharusnya membiarkan pihak berkuasa sahaja menyelesaikan masalah terbabit.

Katanya, komuniti digalakkan untuk terbabit secara tidak langsung dengan mengambil masa selama kira-kira 10 minit setiap minggu bagi memastikan kawasan kediaman dan premis berada dalam keadaan bersih serta kemas.

“ia juga dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti setempat terhadap wabak denggi ini selain mewujudkan persekitaran yang bersih.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan komuniti melaksanakan aktiviti gotong-royong pada hari minggu di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Majlis Gotong Royong Perdana Basmi Denggi anjuran Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pangsapuri Rimau Perdana Seksyen 32 di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, program itu dapat mewujudkan kerjasama antara jabatan, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta komuniti terhadap penjagaan kebersihan persekitaran.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :