SELANGOR

E-dagang pacu ekonomi digital

OLEH NORHAYATI UMOR

KOTA DAMANSARA, 23 APR: Pembangunan ekonomi digital melalui e-dagang yang dipacu oleh Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) mampu terus ke hadapan memandangkan industri berkenaan menjadi perhatian dunia masa kini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, pembangunan pesat industri itu juga tidak boleh dinafikan.

“Saya percaya pembangunan masa hadapan secara berterusan dalam bidang ini menjadi salah satu sumber ekonomi negeri dan rakyat.

“Kerajaan Negeri akan memastikan setiap pembangunan dan aktiviti bidang ini sentiasa berada di landasan yang betul, bagi memastikan ia terus berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Anugerah Hab E-Dagang oleh SITEC kepada pemaju, Scland Group, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, ketika ini, SITEC juga sudah melatih lebih 400 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menjalankan perniagaan dalam talian dengan jumlah dagangan kasar RM10.3 juta.

“Inkubator SITEC yang berkeluasan 11,000 kaki persegi yang dikenali sebagai Selangor Digital Creative Center turut dianugerahkan status Malaysia Digital Hub,” katanya.

Terdahulu, SITEC berjaya menganjurkan tiga persidangan dan konvensyen yang berjaya menarik 200,000 sejak 2015.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :