SELANGOR

EXCO sedia pertimbang lesen dobi layan diri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia meneliti cadangan supaya pemilik dobi layan diri mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum diberi lesen premis peniagaan bagi membolehkan operasi dijalankan.

Bagaimanapun, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pihaknya memerlukan maklumat lanjut daripada suruhanjaya terbabit sebelum boleh dilaksanakan.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri masih belum dimaklumkan secara rasmi berhubung perkara itu.

“Kita merasakan cadangan ini bagus memandangkan faktor keselamatan orang awam sentiasa diambil kira, dan oleh itu kami bersedia menerima makluman rasmi jika ia sudah digubal bagi membolehkan kita membuat pelaksanaan yang sesuai,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan ST yang menggesa Pihak Berkuasa Tempatan memastikan pengusaha dobi khususnya francais layan diri untuk mendapat kelulusan dan lesen ST, sebelum diberi lesen premis peniagaan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Fauzi Hasan berkata, ia bertujuan menjamin keselamatan dan mengelakkan kejadian letupan gas di premis berkenaan yang boleh menyebabkan kecederaan hingga meragut nyawa.

Sehingga kini, sebanyak 538 Kelulusan Untuk Memasang (ATI); 341 Kelulusan Untuk Mengendali (ATO); dan 324 lesen persendirian untuk kedai dobi dikeluarkan suruhanjaya itu dari Januari tahun lalu sehingga Mac 2019.

Namun, dianggarkan lebih 2,000 lagi kedai dobi yang sedang beroperasi belum mendapat kelulusan ST.

Ahmad Fauzi berkata, ST turut membangunkan garis panduan khas yang baharu untuk rujukan pengusaha premis dobi merangkumi keperluan perundangan dan teknikal bagi memastikan keselamatan sistem perpaipan gas terjamin.

Katanya, antara aspek yang ditekankan dalam garis panduan itu adalah kepentingan pemasangan sistem silinder gas yang mampu menahan gas daripada memasuki premis jika berlaku kebocoran.

Garis panduan itu didaftarkan selaras Seksyen 37C, Akta Bekalan Gas 1993 supaya ia dapat dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan jika berterusan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama pelanggaran itu diteruskan selepas sabitan seperti yang termaktub di bawah seksyen 31, Akta Bekalan Gas 1993, katanya.

 


Pengarang :