BERITA UTAMASELANGOR

Idaman: Titik permulaan MBI, mahu perluas ke bandar

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Rumah Idaman menjadi titik permulaan buat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk memperluaskan lagi projek itu, terutama di kawasan bandar, pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pihaknya dan Kerajaan Negeri berusaha mencari penyelesaian terbaik khusus buat rakyat Selangor untuk memiliki kediaman pertama dengan beberapa ciri serta kemudahan, pada harga berpatutan.

Mengakui agak mencabar untuk menyediakan kediaman berkonsepkan seperti itu, namun beliau berkata, ia akhirnya dapat dilaksanakan dengan sambutan luar biasa.

“Ini (rumah Idaman) adalah titik permulaan dan kita akan cuba usahakan lagi di tempat lain terutama di kawasan strategik seperti bandar kerana kita tidak mahu golongan sederhana dan rendah duduk di pinggir bandar yang menyukarkan aksesibiliti mereka.

“Malah, sambutan diterima hari ini bukan sahaja dari masyarakat yang hadir untuk memohon rumah Idaman tetapi ada juga antara pemaju yang hadir bertanyakan bagaimana MBI melaksanakan kediaman dengan harga cuma RM250,000 dilengkapi semi-perabot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Katanya, untuk sasaran pertama, sebanyak 6,000 unit rumah Idaman akan dibina dan ia mungkin akan bertambah bergantung kepada permintaan.

Mengulas berkenaan MBI bersedia membantu Kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan projek Idaman itu, Raja Shahreen berkata, ia bergantung kepada Kerajaan Negeri.

“Ia bukan di bawah bidang kuasa kami kerana kita hanya memfokuskan Selangor dahulu dan pada masa akan datang sama ada mahu meluaskan ke negeri lain, ia bergantung kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :