SELANGOR

Imigresen Selangor tahan 37 warga asing di Shah Alam, Klang

SHAH ALAM, 16 APRIL: Jabatan Imigresen Selangor menahan 37 warga asing dalam satu operasi bersepadu di sekitar Shah Alam dan Klang, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata operasi oleh 18 pegawai serta anggota yang bermula pukul 9.00 malam itu menyasarkan pusat hiburan, rumah kedai yang dijadikan asrama pekerja, dan perniagaan kedai runcit serta makanan.

“Serbuan pertama dilakukan di perniagaan runcit dan makanan di persekitaran Shah Alam, di mana 28 warga asing diperiksa dan 10 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, antaranya Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) membabitkan sektor pembuatan, pembinaan, dan perkhidmatan tetapi bekerja di lokasi yang tidak dibenarkan serta pas lawatan sosial yang tamat tempoh.

“Serbuan kedua pula di pusat hiburan di Klang dengan menahan 16 warga asing dan pada serbuan terakhir di kawasan rumah kedai yang dijadikan tempat tinggal pekerja asing di Alam Megah, Shah Alam berjaya menahan 11 warga asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Shukri, dalam operasi itu terdapat cubaan warga asing meloloskan diri termasuk ketika serbuan di pusat hiburan, namun tindakan pantas pasukan serbuan telah berjaya menahan mereka.

Beliau berkata, 37 warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 19 lelaki dan 18 wanita warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India dan Vietnam yang berumur antara 20 dan 40 tahun.

“Kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor dan seterusnya akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

“Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15 (1)(c) Akta sama kerana tamat tempoh pas atau permit serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :