NASIONAL

JAKIM- Kedutaan Argentina bincang perkukuh agenda halal

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 15 APR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Republik Argentina di Malaysia bagi meneruskan agenda mengukuh kerjasama dalam aspek halal, pada 12 April lalu.

Menurut kenyataannya di Facebook, pertemuan itu merupakan jemputan balas daripada Duta Besar Republik Argentina ke Malaysia, Manuel Jose Balaguer Salas kepada beberapa siri pertemuan dan perbincangan sebelum ini.

JAKIM berkata, kunjungan terbabit adalah satu penghormatan terbaik lanjutan kesediaan Malaysia dalam menghulurkan bantuan pembangunan kapasiti teknikal halal sekali gus berkongsi kejayaan Malaysia dalam aspek halal.

“Program pembangunan kapasiti ini adalah skop baharu yang diperkenalkan sebagai usaha untuk memberikan maklumat langsung dan pemahaman berkaitan halal serta keperluan peraturan halal yang dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Kunjungan itu diketuai oleh Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia (MHM), Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee bersama pegawai kanan MHM, iaitu Mohd Asri Abdullah dan Muhammad Naim Mohd Aziz.

Sementara itu, sehingga Februari lalu, JAKIM sudah mengiktiraf lebih 70 logo halal daripada badan pensijilan luar negara yang merangkumi 45 negara.

 


Pengarang :