NASIONAL

Mahkamah larang muat naik prosiding Najib di media sosial

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang mana-mana pihak memuat naik atau berkongsi apa-apa video atau prosiding mahkamah dalam perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata transkripsi rakaman mahkamah (CRT) adalah untuk kegunaan mahkamah dan bukan untuk tatapan awam kerana sebarang komen atau ulasan yang diberikan, boleh prejudiskan kes itu.

“Sebarang bentuk rakaman tidak dibenarkan, bukan sahaja pautan video siaran langsung atau live streaming dan ini termasuk CRT. CRT untuk tujuan transkripsi bukan untuk dimuat naik.

“Saya harap pihak pembelaan dan pendakwaan, yang merupakan pegawai mahkamah agar mematuhi perkara ini. Saya juga mahu mengingatkan semua orang agar tidak membuat sebarang komen yang boleh prejudiskan perbicaraan kes ini dan boleh menimbulkan penghinaan terhadap mahkamah,” kata hakim.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V. Sithambaram memberitahu mahkamah video CRT itu telah dimuat naik di laman sosial Facebook minggu lepas.

Sithambaram menegaskan rakaman CRT itu hanya boleh diperoleh selepas menandatangani perjanjian iaitu tidak membekalkan rakaman itu kepada pihak lain, atau memuat naik ke mana-mana medium.

Beliau juga berkata CRT diberi kepada pihak pendakwaan dan pembelaan dengan janji ia adalah bagi kegunaan perbicaraan bagi memastikan nota keterangan adalah tepat.

“Kami memohon pihak pembelaan berjanji tidak akan menyerahkan CRT ini kepada mana-mana pihak ketiga. Orang awam dan netizen juga harus diberi amaran tidak memuat naik tanpa kebenaran mahkamah. Tindakan itu akan menjejaskan integriti mahkamah.

“Kami memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran,” katanya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya menegaskan penyebaran rakaman prosiding mahkamah adalah amalan biasa di United Kingdom dan salinan video itu boleh diakses di arkib negara dan dalam talian.

“Ia adalah keistimewaan bagi pihak pelanggan. Saya perlu mengetahui apa yang berlaku.

“Saya agak terkejut, ketika kami memohon perintah larangan, mereka (pihak pendakwaan) telah membantah. Sekiranya permohonan kami dibenarkan, masalah ini tidak akan timbul. Pihak pendakwaan yang telah membantah untuk perintah larangan itu dan sekarang mereka pula, “siapa yang makan cabai, dia terasa pedas”.

“Kami mahu perbicaraan ini disiarkan secara langsung. Ia (video yang dimuat naik ini) tidak memudaratkan sesiapa. Kita sepatutnya mengadakan prosiding secara langsung seperti perbicaraan kes OJ Simpson untuk ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada Sabtu, video berdurasi dua minit dan 12 saat bertajuk, Hari Kelima Perbicaraan Datuk Seri Najib memaparkan rakaman prosiding peguam Najib, Muhammad Shafee menyoal balas saksi yang viral di media sosial.

Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas Pegawai Khas Najib, Isham Jalil, pada kelmarin, yang telah ditonton 227,000 kali dan dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook yang mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai sedutan prosiding pada hari kelima perbicaraan Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Semalam, polis membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan polis, di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. -BERNAMA


Pengarang :