BERITA UTAMASELANGOR

MB: Kejayaan akan musnah jika wujud pengkhianat demi kepentingan diri

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APR: Penjawat awam Selangor diingatkan supaya berani berkata benar dan jujur dalam memberi nasihat atau menyalurkan maklumat kepada pemimpin negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, segala pencapaian diraih Selangor dalam tempoh 10 tahun ini boleh musnah jika wujud pengkhianat yang sengaja menyalurkan fakta dan nasihat salah demi menjaga kepentingan diri.

“Bukan sahaja soal menang atau kalah pilihan raya tetapi dalam semua pencapaian yang sudah kita laksanakan.

“Semua status dan kedudukan yang sudah kita capai akan musnah jika selesa dan alpa apatah lagi jika ada kumpulan pengkhianat antara satu sama lain untuk kepentingan peribadi masing-masing.

“Tak mampu bercakap benar, tak mampu berbincang dengan jujur yang akhirnya memberi kesan bukan sahaja kepada orang politik dan pemimpin tetapi juga mereka yang gagal memberikan nasihat atau mempertahankan intergriti yang ada seperti digariskan termasuk sumpah serta ikrar yang dibacakan tadi,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada Perhimpunan Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Daerah Kuala Langat di Dewan Sri Jugra, Telok Datok, di sini, hari ini.

Penjawat awam juga diingatkan supaya memastikan tiada campur tangan mana-mana pihak ketika membuat keputusan.

Sambil menyifatkan penjawat awam negeri termaju itu sebagai aset penting negeri, mereka juga perlu menghidari perasaan selesa dengan pencapaian yang ada kerana ianya akan membuatkan Selangor ketinggalan.

Amirudin berkata, berbanding hari ini, di peringkat awal pentadbiran Kerajaan Negeri 10 tahun lalu menyaksikan wujudnya kebimbangan antara penjawat awam dan kepimpinan negeri.

Sementara itu, ketika menyentuh isu pembayaran bonus penjawat awam bagi tahun 2019, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri bersedia membayar bonus lebih dua bulan gaji berdasarkan prestasi jabatan masing-masing.


Pengarang :