NASIONAL

Mohamad pertahan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat

SEREMBAN, 13 APR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sebelum ini selepas memenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan hari ini.

Mohamad, 63, yang juga pemangku Presiden UMNO, menang dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram, 60, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi, 51, dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin, 67.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Nizam Tajul Arus di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sri Sendayan, pada 8.45 malam ini.

Kemenangan Mohamad bagi kerusi itu merupakan kali keempat sejak disandangnya pada 2004.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :