BERITA UTAMASELANGOR

Mohamed Azmin lawat mangsa flat retak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 29 APRIL: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menyantuni mangsa terjejas susulan keretakan serius Pangsapuri Taman Keramat Permai, di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, sebentar tadi.

Ketibaan Ahli Parlimen Gombak kira-kira 12.20 tengah hari turut disertai Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Turut serta dalam kunjungan berkenaan adalah Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Mohamad Hilman Idham dan ADN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Dalam kunjungan itu, Mohamed Azmin turut bertanya khabar dan beramah mesra bersama mangsa di pusat pemindahan terbaharu berkenaan selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai dijadikan lokasi pemindahan pertama, pada Jumaat lalu.

Seusai melawat, beliau menikmati makan tengah hari bersama keluarga mangsa dan menunaikan solat Zohor berjemaah di surau berhampiran.

Beliau juga turun padang untuk melihat sendiri situasi di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan dan meninjau dengan lebih dekat keretakan berlaku termasuk di aras empat dan aras bawah blok berkenaan.

Mohamed Azmin kemudian mendengar taklimat oleh Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan wakil PKNS serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya sepanjang tinjauan itu.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan selepas penemuan beberapa kesan retakan pada pangsapuri empat tingkat berkenaan.

Sehingga 2.15 petang, seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan itu.


Pengarang :