SELANGOR

Parameswary mahir buat kuih tradisional Melayu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 APR: Berlainan bangsa tidak menghalang S Parameswary yang berbangsa India untuk mahir membuat kuih tradisional masyarakat Melayu.

Wanita berusia 52 tahun itu berkata, kini dia mula menjual dan mengedarkan kuih antaranya ketayap, wajik dan juga puding sagu ke restoran sekitar Kajang.

Katanya, beliau sendiri tidak menjangka kuih tradisi kaum Melayu begitu mudah untuk dipelajari.

“Pelanggan dan kawan yang merasa kuih saya mengakui rasanya memang sama dengan kuih dibuat orang Melayu.

“Sekarang saya hasilkan di antara 30 hingga ke 100 kuih tradisional ini sehari dan dalam tempoh sebulan saya mendapat pulangan sekitar RM1,000 ke RM1,500,” katanya kepada SelangorKini.

 

Parameswary yang juga suri rumah tangga sepenuh masa adalah di antara 480 peserta yang berjaya menerima Sijil Tamat Kursus Kulinari dari EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Sepanjang kursus berkenaan, kesemua peserta diberi tunjuk ajar untuk menghasilkan kuih tradisional, pastri, kek dan sandwich secara percuma sepanjang tahun lalu oleh Kerajaan Selangor.

Sementara itu seorang lagi peserta, Riduan Hanif Ahmad Zainuddin, 24, pula bersyukur apabila diberi peluang untuk mempelajari kesemua asas masakan berkenaan secara percuma.

Menariknya, pelajar lepasan sebuah institusi pengajian tinggi itu adalah peserta lelaki tunggal bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal.

Walaupun begitu, katanya, ia bukanlah penghalang bagi dirinya untuk mahir mempelajari teknik masakan bersama kaum ibu yang lain.

“Alhamdulillah sekarang saya sudah pandai menghasilkan krim karamel serta banyak lagi resepi enak yang boleh dianggap mahal sekiranya belajar di kelas masakan lain.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memberikan peluang untuk belajar, saya merancang gunakan kemahiran ini dengan berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.

Bagi peserta warga emas, Puziah Ahmad, 66, berkata, kursus kulinari dianjurkan itu dapat mengisi masa lapangnya dengan kawan-kawan.

“Mungkin wanita seusia saya tidak mempunyai masalah untuk membuat kuih tradisi tetapi bagi kuih moden, kami terpaksa mengambil masa agak lama.

“Alhamdulilah sekarang saya sudah pandai buat karamel sendiri,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :