NASIONAL

PBT perlu pastikan dobi ada kelulusan ST

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memastikan pengusaha dobi khususnya francais layan diri untuk mendapat kelulusan dan lesen Suruhanjaya Tenaga (ST), sebelum diberi lesen premis peniagaan.

Pengerusi ST, Datuk Ahmad Fauzi Hasan berkata, ia bertujuan menjamin keselamatan dan mengelak kejadian letupan gas di premis berkenaan yang boleh menyebabkan kecederaan hingga meragut nyawa.

“Salah satu kelemahan yang kami dapati apabila menyiasat kejadian kemalangan di premis dobi ialah kebanyakan pengusaha tidak mengambil serius bahawa pengoperasian dobi menggunakan sistem perpaipan gas memerlukan beberapa kelulusan.

“Sebelum beroperasi, ada tiga kelulusan diperlukan iaitu Kelulusan Untuk Memasang (ATI), Kelulusan Untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas yang dikeluarkan ST,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Sistem Gas Berpaip, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 538 ATI; 341 ATO; dan 324 lesen persendirian untuk kedai dobi dikeluarkan suruhanjaya itu dari Januari tahun lalu sehingga Mac 2019.

“Kami anggarkan lebih 2,000 lagi kedai dobi yang sedang beroperasi belum mendapat kelulusan daripada ST,” katanya.

Beliau berkata, reka bentuk pemasangan sistem perpaipan gas perlu direka dan diluluskan berdasarkan Malaysian Standard 830 dan Malaysian Standard 930, manakala pemberian dan pembaharuan lesen gas dipantau dengan meneliti laporan penyelenggaraan yang dilakukan terhadap sistem perpaipan.

Ahmad Fauzi berkata, ST turut membangunkan garis panduan khas yang baharu untuk rujukan pengusaha premis dobi merangkumi keperluan perundangan dan teknikal bagi memastikan keselamatan sistem perpaipan gas terjamin.

Katanya, antara aspek yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah kepentingan pemasangan sistem silinder gas yang mampu menahan gas daripada memasuki premis jika berlaku kebocoran.

“Dinding bangunan itu yang mengasingkan tempat penstoran dengan dobi mestilah direka bentuk dengan spesifikasi fireproof (kalis api) selama empat jam,” katanya.

Garis panduan itu didaftarkan selaras Seksyen 37C, Akta Bekalan Gas 1993 supaya ia dapat dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan jika berterusan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama pelanggaran itu diteruskan selepas sabitan seperti yang termaktub di bawah seksyen 31, Akta Bekalan Gas 1993, katanya. -BERNAMA


Pengarang :