BERITA UTAMASELANGOR

Pencemaran plumbum: Kilang bateri kena enam kompaun RM12,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 APR: Kilang kontroversi didakwa melakukan pencemaran plumbum di Jenjarom, Kuala Langat baru-baru ini, berdepan enam kompaun berjumlah RM12,000, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, tindakan kompaun itu dikenakan ekoran kegagalan kilang Leoch Accupower (M) Sdn Bhd mematuhi pengurusan peleburan plumbum mengikut jadual.

Katanya, kilang terbabit disyorkan untuk dipertuduhkan di bawah Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melakukan proses pemerolehan kembali plumbum tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling.

“Bagi menentukan punca pencemaran asid dan plumbum, Kerajaan Negeri mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) dan Jabatan Pengaliran Dan Saliran (JPS) untuk menjalankan satu kajian yang merangkumi kawasan berhampiran kilang serta kawasan sekitarnya termasuk ladang kelapa sawit.

“Jabatan Kesihatan Pekerja Dan Alam Sekitar sudahpun memulakan operasi kajian sampel darah serta membuat screening ke atas kawasan sekitar melalui ‘mapping’ yang dirangka.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga diarahkan mengambil tindakan untuk mengadakan persampelan ke atas pekerja bagi kilang terbabit serta kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian menegaskan, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan mengarahkan kilang dipindah ke kawasan industri yang lebih sesuai jika hasil siasatan dan kajian agensi teknikal menyahihkan terdapat pencemaran plumbum susulan operasi kilang berkenaan di sekitar kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah kerajaan yang adil kepada semua, kami tidak hanya bertindak berpandu kepada sesuatu pihak atau sumber.

“Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong yang juga seorang mantan ahli kabinet tidak seharusnya hanya mengambil pandangan dan kajian daripada Persatuan Penduduk (termamsuk seorang pakar Dr Maketab( tetapi perlu mengambil kira kajian dibuat oleh jabatan kerajaan serta badan profesional lain, selain membuat perbandingan lebih mendalam sebelum membuat tuduhannya melalui laman sosial.

“Saya melihat ini sebagai sesuatu tindakan untuk meraih sokongan politik secara murahan dan mempermainkan isu untuk kepentingan diri serta langsung tidak boleh diterima sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan bertanggungjawab.

“Saya mengesyorkan beliau berhubung dengan kami termasuk agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang berkenaan supaya beliau dapat mengikuti tindakan sedang diambil oleh kerajaan sebelum tuduhan liar dibuat,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 50 penduduk kawasan sekitar melakukan demonstrasi di hadapan kilang terbabit menuntut kilang berkenaan ditutup kerana membawa kesan buruk seperti pencemaran udara dan air di kawasan itu.

Susulan itu, Wee Ka Siong dipetik melalui portal media tempatan sebagai berkata, kejadian itu menunjukkan sifat sebenar Pakatan Harapan (PAKATAN) yang cuba menjadi juara alam sekitar selama bertahun-tahun.


Pengarang :