BERITA UTAMANASIONAL

PM: Tahun pertama PH tumpu pulih negara akibat skandal 1MDB

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Tahun pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih tertumpu kepada usaha pengukuhan, pemulihan serta meletakkan semula negara di landasannya ekoran kekalutan yang ditimbulkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ketika kerajaan bergelut untuk merungkai pendedahan skandal terbabit, impak kerosakan didapati jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh ini, kerajaan turut mendapati teras lain ekonomi negara juga terjejas walaupun tidak mencecah tahap terburuk.

“Kesimpulannya, tempoh itu memberi lebih perhatian kepada aspek pengukuhan, pemulihan dan meletakkan semula negara di landasannya,” katanya semasa mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham) di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, walaupun kerajaan baharu kelihatan perlu berusaha lebih untuk mengatasi pelbagai isu dan cabaran yang sukar, namun beliau percaya ia dapat ditangani.

Beliau berkata, kerajaan PH turut menyedari bahawa negara tidak boleh mencapai kemajuan sekiranya ia tidak mengembangkan ekonomi.

“Justeru, kita komited untuk memastikan dasar kerajaan bersifat mesra pelabur, kepada pelabur asing dan domestik. Kerajaan ini akan berusaha meneruskan libat urus dengan syarikat multinasional (MNC) seperti anda.

“Kami mengambil semua pandangan anda untuk dipertimbangkan, supaya anda akan terus melihat Malaysia sebagai destinasi menggalakkan, strategik dan menguntungkan pelaburan bagi perniagaan Amerika Syarikat (AS) kini dan sehingga masa akan datang,” katanya.

Pada 2018, AS adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di dunia, dengan jumlah dagangan melebihi RM155 bilion. Eksport dari Malaysia ke AS meningkat kepada lebih RM90 bilion, sekali gus menjadi nilai tertinggi dalam tempoh lebih sedekad.

Sebanyak 20 daripada 78 MNC di bawah InvestKL adalah dari AS dan jumlah itu setakat ini merupakan yang terbesar dari mana-mana negara tunggal — angka negara berikutnya hanya separuh daripada jumlah itu.

Dalam sektor pembuatan, AS adalah pelabur asing kedua terbesar di Malaysia. Projek yang dilaksanakan syarikat AS bernilai hampir US$22 bilion, dibelakang Jepun. -BERNAMA


Pengarang :