????????????????????????????????????
BERITA UTAMASELANGOR

REHDA saran kerajaan pergiat usaha sedia rumah mampu milik

OLEH AFEEQA AFEERA

KELANA JAYA, 5 APR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor menyarankan Kerajaan Persekutuan dan Negeri supaya memainkan peranan lebih aktif untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

Pengerusinya, Zulkifly Garib berkata, permintaan untuk memiliki kediaman sendiri terus bertambah, namun rakyat berdepan kekangan mendapatkan pinjaman daripada institusi berdaftar.

“Kerajaan sedang mencari jalan untuk menambah rumah mampu milik, sama juga seperti di Selangor yang memiliki permintaan tinggi, namun persoalannya adalah harga dan keupayaan mendapatkan pinjaman.

“Kerajaan juga menetapkan RM300,000 sebagai harga rumah mampu milik dan kita tahu bahawa di peringkat Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang giat melaksanakannya.

“REHDA juga banyak mengadakan perbicangan bersama kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Wisma REHDA, di sini, pada 3 April lalu.

Mengambil contoh di Selangor, beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan EXCO dan membuat pembentangan berhubung cadangan menurunkan harga rumah.

Zulkifly berkata, REHDA turut menyarankan Kerajaan Negeri supaya memberi input kepada pemaju swasta untuk menyediakan rumah mampu milik.

“REHDA Institute sudah mengeluarkan laporan terperinci sebarang masalah atau isu semasa dan memberi cadangan bagaimana pihak berkuasa serta pemaju dapat bekerjasama juga berusaha menyediakan rumah mampu milik.

“Kerajaan Selangor dan negeri lain juga sedang sibuk untuk mencari jalan supaya menyediakan lebih banyak rumah mampu milik,” katanya.


Pengarang :