BERITA UTAMASELANGOR

Selangor contohi transformasi Sungai Melaka, bangun Sungai Klang

NORHAYATI UMOR

MELAKA, 2 APR: Transformasi Sungai Melaka yang kini menjadi tarikan pelancongan negeri itu merupakan contoh terbaik untuk Selangor dalam pembangunan Sungai Klang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri melihat rangka tindak pembangunan Sungai Melaka menerusi aspek pembersihan, pengindahan dan pembangungan persisir sungai boleh diguna pakai di Sungai Klang.

“Transformasi yang dilakukan terhadap Sungai Melaka sehingga menjadi daya tarikan dan kawasan pembangunan baharu merupakan satu kejayaan di Selangor. Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk membangunkan Sungai Klang sebelum ini lagi.

“Rangka tindak sudah ada cuma kita perlukan pendekatan dan mereka yang pakar untuk merubah keadaan Sungai Klang dan Sungai Melaka boleh dijadikan contoh bagaimana kawasan sungai tidak dipandang berjaya ditransformasikan kepada satu kawasan maju dan berdaya saing,” katanya lapor Bernama.

Amirudin berkata, pelan dan perancangan untuk membangunkan Sungai Klang bermula sejak 2009, namun usaha itu tidak berjalan lancar disebabkan beberapa kekangan termasuk perbezaan parti antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Usaha ini membabitkan kerjasama pelbagai pihak seperti agensi persekutuan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran selain Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan kali ini peluangnya agak lebih baik dan kita yakin mampu untuk meneruskan pembangunan Sungai Klang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kejayaan Melaka merangka pelbagai program pelancongan untuk menarik kedatangan pelancong juga wajar dicontohi pihaknya kerana Selangor turut mempunyai kelebihan kerana menjadi salah satu pintu masuk utama negara ini apabila pelancong turun di Sepang menerusi laluan udara.

“Melaka merupakan antara negeri terbaik di Malaysia dalam usaha menarik kedatangan pelancong dengan pembangunan infrastruktur pelancongan yang baik,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menghadiri Majlis Makan Malam Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Melaka.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada program permukiman Kerajaan Negeri Selangor yang berlangsung selama tiga hari dua malam di negeri bersejarah itu.

Usaha pemuliharaan Sungai Klang itu dilaksanakan menerusi projek ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG) dan dijangkakan menyemarakkan ekonomi negeri menerusi ekonomi maritim pada jangka masa panjang.

SMG menjadikan konsep penjanaan semula bandar membabitkan industri perhotelan, perdagangan, perumahan dan perkhidmatan.

Projek itu meliputi keluasan kawasan kira-kira 55,612 hektar sepanjang pesisir Sungai Klang.

Sungai Klang sejauh 120 kilometer yang mengalir melalui bandar utama, di Selangor bermula di kawasan Ampang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan seterusnya Bandar DiRaja Klang.

 


Pengarang :